BUTTERWORTH: Pecutan pada jarak 200 meter (m) terakhir yang dilakukan pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 Arau ke Butterworth, semalam.
Biarpun penamat yang gemilang itu disusuli dengan laluan sempit dan penamat beramai-ramai serta kemalangan, namun itu tidak menjadi masalah buat Malucelli untuk menjulang kejuaraan sulungnya pada perlumbaan berstatus ProSeries (2.Pro) itu.
“Kami berada dalam keadaan yang baik untuk mengharungi perlumbaan ini terutamanya buat tiga rakan sepasukan saya dari Jepun.
“Kami menaruh harapan yang besar untuk memenangi saingan di sini (peringkat kedua) kerana pentingnya untuk memperbaiki ranking pasukan,” katanya kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan peringkat kedua, di sini, semalam.
Pelumba berusia 31 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan tiga jam 34 minit 58 saat (s) memintas wakil Team Polti Kometa, Manuel Penalver di tempat kedua dan pelumba sensasi tahun lalu,Arvid De Kleijn dari Tudor Pro Cycling di carta ketiga.
Dalam pada itu, Malucelli mengakui bahawa perlumbaan semalam amat sengit susulan pihak komisar terpaksa membuat keputusan menerusi ‘photo finish’.
“Saya masih tidak percaya dapat memenangi peringkat ini. Ianya adalah kali pertama saya menjuarai perlumbaan berstatus 2.Pro dan adalah saat yang indah. Saya masih belum memahami bagaimana hendak meluahkan kemenangan ini,” katanya.
Sementara itu, Jersi Hijau (pendahulu keseluruhan) kekal menjadi pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa (5:39:23s), diikuti Malucelli kurang 0:02s, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli di kedudukan ketiga (0:04s).
Syritsa turut mengekalkan Jersi Jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 23 mata diikuti Malucelli (22) dan Penalver (17).
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli turut berjaya mempertahankan Jersi Putihnya (pelumba terbaik Asia) dengan catatan 5:39.27s, meninggalkan Ng Pak Hang (HKSI Pro Cycling) kurang 0:01s dan Yusri Shaari dari pasukan kebangsaan (0:05s).
Saingan peringkat ketiga akan diteruskan harini dari Taiping ke Cameron Highlands dengan jarak 175.7km dengan merangkumi tiga zon pecutan di Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Ipoh, selain tiga zon pendakian (Kuala Kangsar, Kampung Raja dan Brinchang).
Habis.
KAPSYEN: MALUCellI (tengah) memenangi peringkat kedua LTdL 2024 dari Arau ke Butterworth membabitkan kayuhan sejauh 154,5 kilometer (km), semalam.