Lebih 200 pemain berentap dalam kelayakan Pro-Am

Lebih 200 pemain berentap dalam kelayakan Pro-Am

PARA pemain golf bergambar pada kejohanan Pro-Am Johor Golf Expo 2024 di Senibong Golf Club, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Lebih 200 pemain golf tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam kejohanan kelayakan Pro-Am di Kelab Golf Senibong, menjelang Ekspo Golf Johor 2024 (JGE 2024), yang akan berlangsung bulan depan.

Pengarah Urusan Champions Golf, Matthew A. Murray berkata, 15 pemenang daripada pusingan kelayakan itu berpeluang bermain golf bersama-sama pemain golf profesional dalam perlawanan akhir yang dijadualkan pada 19 dan 20 Oktober ini.

Beliau berkata, pemain golf profesional terbaik akan bersaing untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM40,000, manakala pemain amatur pula merebut hadiah bernilai RM14,000.

“Kejohanan Pro-Am menampilkan format unik, iaitu pemain golf profesional dan amatur bermain bersama-sama dalam pusingan yang sama.

“Kejohanan ini menjadi antara tumpuan JGE 2024, yang bertujuan meningkatkan aksesibiliti golf kepada orang ramai di Johor dan menyatukan pihak berkepentingan bagi mempromosikan
negeri ini sebagai destinasi sukan golf terkemuka,” katanya.

MATTHEW A. MURRAY

Murray berkata, selain Pro-Am, ekspo itu juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan acara menarik seperti MGA Junior Open dan Siri Pro-Am Kelab Wanita.

Tambahnya, JGE 2024 yang dianjurkan dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) menerusi anak syarikatnya, KPRJ Sports Sdn. Bhd., turut menganjurkan Family Fairway Fun Festival pada 13 Oktober, sebelum acara kemuncak pada 18 Oktober.

“Pengunjung boleh menantikan pelbagai aktiviti menarik, termasuk footgolf, Fairway Fun Zone, trak makanan, pencarian harta karun dan banyak lagi.

“Selain itu, JGE 2024 juga menampilkan pameran dan seminar dengan lebih 70 pempamer tempatan dan antarabangsa melibatkan peluang perniagaan dan inovasi terkini dalam industri golf,” katanya.

Acara itu dijangka menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor hospitaliti, runcit, dan pengurusan acara tempatan dengan menjurus terhadap usaha meningkatkan kesedaran tentang golf dan manfaatnya.

“JGE 2024 berperanan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi di rantau ini. Pada acara tersebut, orang ramai boleh mengunjungi pameran yang disertai lebih 85 pempamer yang turut memperkenalkan inovasi terkini berkaitan produk golf dan rekreasi.

“Selain mewujudkan peluang pekerjaan, JGE 2024 juga bertujuan merangsang perniagaan tempatan dengan menarik pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya