Kereta pemain Kedah kena tarik, pemilik rumah tuntut sewa

Kereta pemain Kedah kena tarik, pemilik rumah tuntut sewa

PEMAIN KDA FC kembali menjalani latihan di Stadium Darul Aman, semalam.- IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemain dan pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semakin buntu apabila isu tunggakan gaji yang dihadapi mereka menyebabkan kehidupan harian terjejas teruk.

Ini berikutan, kata satu sumber kepada Utusan Malaysia, ada kenderaan dalam kalangan pemain yang sudah ditarik oleh pihak bank disebabkan tunggakan yang melebihi empat bulan.

Selain itu, mereka turut berdepan tekanan apabila pemilik rumah sewa juga meminta supaya bayaran bulanan dijelaskan.

“Sejak dari selepas perlawanan menentang Sri Pahang, mereka tak dengar apa-apa langsung mengenai bila gaji akan dibayar. Ada juga sampai ke pengetahuan mereka kata pemilik pasukan, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar sedang berusaha untuk melunaskan gaji pemain.

“Cuma itu saja maklumatnya tetapi sampai bila harus menunggu pun tak tahu,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di Stadium Darul Aman yang menjadi venue latihan Sang Kenari semalam menyaksikan 14 pemain turun menjalani sesi latihan pasukan itu termasuk kesemua lima pemain import.

Sebelum ini, pemain Kedah pernah memboikot sesi latihan dan aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dan hanya turun sesi latihan empat hari sebelum menentang Sri Pahang FC.

“Setakat ini tiada pihak yang mendesak para pemain untuk turun berlatih. Mungkin pihak berkaitan juga sedar dan bimbang dibidas semula oleh para pemain yang berdepan masalah kewangan.

“Sebelum ini ada juga dengar khabar kononnya isu ini akan selesai tidak lama lagi tetapi hingga kini, para pemain masih menjadi kambing hitam dan ternanti-nanti gaji yang menjadi hak mereka,” katanya.

Ditanya sama ada para pemain akan turun beraksi dalam perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di laman sendiri pada 19 Oktober depan, sumber itu berkata setakat ini tiada keputusan dibuat berhubung perkara itu.

“Kami tidak tahu lagi keadaannya nanti. Memang setakat ini tiada apa-apa perbincangan dalam kalangan pemain kerana masing-masing hanya mahu menanti gaji,” katanya.

Dalam pada itu, barisan kejurulatihan yang didekati pemberita enggan menggulas situasi pasukan ketika ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya