ALOR SETAR: Dengan isu tunggakan gaji masih menghantui pemain, persiapan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk berdepan Terengganu FC di laman sendiri malam ini boleh dianggap pincang berikutan beberapa kekangan dihadapi.
Menurut sumber dalaman pasukan, semangat dan motivasi pemain ketika ini sememangnya tidak menentu kerana masing-masing memiliki masalah tersendiri berikutan gaji yang tertunggak selama tujuh bulan.
Malah katanya, kehadiran penuh untuk menjalani latihan juga baru dapat dicapai minggu ini setelah beberapa pemain menyelesaikan komitmen masing-masing terhadap beberapa perkara dengan pelbagai cara.
“Selepas aksi bertemu Sri Pahang FC pada 20 September lalu, pasukan ini hanya kembali berlatih dua minggu selepas itu iaitu pada 5 Oktober. Sejak itu kehadiran pemain untuk menjalani latihan pun tidak penuh dan hanya pada minggu ini saja, ketua jurulatih, Nafuzi Zain dapat melihat semua pemain turun ke padang latihan.
“Boleh dikatakan kelebihan ketika ini memang memihak kepada Terengganu FC. Disebabkan itu, kami memang mengharapkan supaya penyokong dapat hadir ke Stadium Darul Aman beramai-ramai dalam perlawanan itu bagi memberi sokongan kepada pemain.
“Kehadiran penonton bermai-ramai sebenarnya penting dalam menyemarakkan semangat pemain. Selain sorakan semangat, para pemain juga akan sedar bahawa kantung KDA FC dapat sedikit terisi sekali gus memberi harapan untuk mereka memperolehi ‘sesuatu'” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Selain itu katanya, pihak pengurusan KDA FC sudah memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berikutan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu baru-baru ini, yang meminta supaya pihak pengurusan KDA FC mengadakan pertemuan dengan KFA bagi membincangkan isu berkaitan gaji pemain.
“Diharapkan langkah mengadakan pertemuan itu dapat menyelesaikan isu yang sudah berlarutan agak lama. Memang diakui pasukan lain pun ada juga yang mengalami tunggakan gaji tetapi tidaklah selama Kedah yang mengalami tunggakan hingga tujuh bulan,” katanya.-UTUSAN