Jurulatih tidak akan paksa Tze Yong

Jurulatih tidak akan paksa Tze Yong

NG Tze Yong kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan tulang belakang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan kejurulatihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) tidak akan sesekali memaksa pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk segera kembali menyertai pertandingan dalam masa terdekat ini.

Jurulatih perseorangan, K. Yogendran berkata, sasaran Tze Yong memang awal tahun depan dan Terbuka Malaysia mungkin menjadi kejohanan pertamanya nanti, tetapi, sebagai jurulatih beliau mahu pemain itu benar-benar bersedia.

“Sebagai jurulatih kita tak patut paksa dia, proses mesti langkah demi langkah, ikut kesesuaian tubuh badan dia, setiap hari Tze Yong ada pamerkan peningkatan.

“Cuma dia belum lagi menyertai sesi latihan penuh, buat masa ini dia berlatih pada sebelah pagi selama sejam dan kemudian dia akan pergi ke gimnasium pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dekat sini, semalam.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu sebelum ini disahkan mengalami sakit tulang belakang akibat kecederaan dialami pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lalu.

Ekoran kecederaan tersebut, Tze Yong terpaksa menjalani pembedahan dan berehat panjang daripada sukan badminton.

Yogendran memberitahu, sasaran utama Tze Yong ialah layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat dan tempoh yang dimilikinya masih panjang, jadi, tidak perlu tergesa-gesa.

Mengulas mengenai kemajuan yang dipamerkan anak kelahiran Johor itu, jelas beliau, buat masa ini, perkembangan yang ditunjukkan kira-kira 30 peratus daripada prestasi sebenarnya.

“Tetapi saya yakin dia akan terus meningkat secara perlahan-lahan, kita mahu lihat kesan jangka panjang dan kita juga tidak mahu kecederaan dia berulang,” tegasnya.

Bercakap mengenai ranking Tze Yong pula, Yogendran berkata, BWF hanya memberikan tempoh setahun untuk ‘mengunci’ ranking dunia setiap kali seseorang pemain itu ditimpa kecederaan.

“Kalau tak silap saya, tempoh itu akan tamat pada April tahun depan, selepas itu kedudukannya boleh terjejas, jadi, saya rasa Tze Yong pun sedar tentang perkara itu, takkan dia nak mula semula di International Series,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya