PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan sesekali memandang rendah keupayaan Perak FC menjelang aksi tertunda Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.
Aksi kedua-dua pasukan itu tertangguh akibat keadaan hujan lebat apabila hanya beraksi dalam tempoh empat minit pada 17 Ogos lalu.
Justeru, pengendali JDT Hector Bidoglio menyeru anak buahnya meneruskan momentum kemenangan selepas beraksi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) ketika membelasah Shanghai Shenhua FC 3-0, Selasa lalu.
Tambahnya, beliau turut berwaspada dengan skuad kendalian Yusri Che Lah yang ketika ini berada dalam prestasi terbaik apabila merekodkan tiga kemenangan berturut-turut.
“Ia perlawanan penting bagi kami kerana mahu mengekalkan momentum kemenangan namun kami tetap berwaspada dengan taktik permainan Perak FC.
“Mereka sudah menang tiga perlawanan lalu dan moral mereka juga tinggi untuk berusaha menidakkan kemenangan kami.
“Kami akan turun dengan lebih dinamik dan mengekalkan corak permainan intensiti tinggi,” katanya.
Melihat kepada kenyataan pengendali kelahiran Argentina itu, beliau dijangka mempertaruhkan barisan terkuat dalam perlawanan itu dengan Arif Aiman Hanapi yang menyerlah pada aksi ACLE pastinya disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Malah, penjaring terbanyak liga ketika ini, Bergson da Silva yang sudah meledak 14 gol pastinya akan mengetuai jentera serangan Harimau Selatan.
Sementara itu, Perak pastinya akan cuba memberi saingan sengit ke atas JDT meskipun sedar kekuatan dimiliki skuad Harimau Selatan.
Penyerang import dari Argentina, Luciano Guaycochea akan menjadi nadi serangan tuan rumah selain kelibat pemain tengah, Sunday Afolabi menggerakkan bahagian tengah sekali gus memberi ancaman kepada benteng JDT.-UTUSAN