ISKANDAR PUTERI: Bermain di laman sendiri bukan tiket bagi Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk terlalu yakin untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) menentang pasukan China, Shanghai Shenhua FC, malam ini.
Sebaliknya, Harimau Selatan perlu memberi tumpuan penuh pada perlawanan itu setelah pasukan pelawat mahu mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan pasukan Korea Selatan, Pohang Steelers 4-1 pada aksi pembukaan ACLE.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, para pemain perlu kekal berdisiplin dan tidak boleh gopoh kerana pasukan lawan mempunyai kekuatan tersendiri serta menjadikan ‘set piece’ sebagai aset untuk memburu gol.
“Mereka mempunyai ramai pemain yang tinggi dan memanfaatkan kelebihan tersebut menerusi ‘set piece’ untuk mencipta jaringan. Pemain perlu bersedia untuk bertarung dengan pemain lawan bagi memenangi perebutan bola di udara.
“Namun, kita tidak mahu terlalu fokus mengenai Shanghai Shenhua, sebaliknya menumpukan kekuatan kita sendiri. Pada aksi pertama ACLE, kita telah membuktikan kemampuan JDT apabila berjaya mencuri mata di tempat lawan.
“Justeru, kita akan bekerja keras pada perlawanan itu dengan cara permainan yang diterapkan. Barisan pertahanan juga perlu lebih kompak bagi menutup ruang pasukan lawan mencipta gol,” katanya.
Bidoglio juga mengesahkan pemain tengah, Enzo Lombardo tidak akan diturunkan pada aksi menentang Shanghai Shenhua selepas mengalami kecederaan ketika menentang Kuching City FC, Jumaat lalu.
Biarpun masih belum memuktamadkan pemain yang akan diturunkan pada aksi kedua ACLE itu, Bidoglio memberi jaminan akan membariskan pasukan terbaik bagi meraih keputusan positif.
Sementara itu, pemain bek tengah, Jordi Amat mengakui benteng pertahanan Harimau Selatan perlu lebih ampuh untuk menangkis serangan lawan dan tiada ruang untuk melakukan kesilapan.
“Kita tahu keupayaan lawan yang bermain secara ‘direct football’ dan benteng pertahanan mereka juga sukar ditembusi. Bagaimanapun, kita juga sudah bertambah baik dalam setiap perlawanan.
“Bermain di peringkat tertinggi seperti ini, kita tidak boleh mudah hilang bola dan melakukan kesilapan. Yang penting kita perlu menang ‘second ball’ yang boleh dijadikan peluang untuk melakukan serangan balas pantas ke kubu lawan,” katanya.-UTUSAN