PETALING JAYA: Selangor FC sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tumpas 0-3 dalam pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Turun dengan misi membalas dendam kekalahan 1-6 di pentas final Piala FA, Selangor yang dibimbing Nidzam Jamil gagal mengimbangi Harimau Selatan yang lebih banyak mengasak pintu gol tuan rumah.
Gol pertama skuad bimbingan Hector Bidoglio terhasil pada minit ke-29 selepas sepakan percuma menarik Juan Muniz berjaya disudahkan menerusi tandukan oleh Romel Morales.
Sebelum wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan, Harimau Selatan menggandakan kedudukan menjadi 2-0 menerusi Bergson Da Silva yang menyempurnakan hantaran lintang Arif Aiman Hanapi.
Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol ketiga apabila Bergson berjaya menyudahkan sepakan penalti selepas Mohammad Abualnadi menjatuhkan Arif Aiman.
Biarpun kedua-kedua pasukan mencipta peluang selepas itu, namun tiada tambahan jaringan dihasilkan sekali gus keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin.
Ini kekalahan pertama Selangor di gelanggang sendiri selepas memenangi semua 11 aksi di Stadium MBPJ sebelum ini termasuk dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Kejayaan meraih tiga mata menyaksikan Harimau Selatan selesa di puncak Liga Super dengan 34 mata selepas 12 perlawanan, manakala Selangor ditangga kedua dengan 26 mata.- UTUSAN