PETALING JAYA: Menang atau sekurang-kurangnya seri menjadi buruan skuad Harimau Malaya dalam aksi menentang New Zealand di Stadium North Harbour, hari ini bagi menaikkan kedudukan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Aksi persahabatan Tier 1 menentang pasukan di tangga ke-95 dunia itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh skuad negara, namun anak-anak buah Pau Marti Vicente tidak boleh terperangkap memandangkan lawan mempunyai reputasi yang lebih baik.
Sekiranya berjaya melakar kemenangan, pastinya ia satu bonus besar buat Malaysia dan jika seri ia sudah memadai untuk Harimau Malaya mengutip mata ranking untuk meloloskan diri ke kedudukan lebih baik menjelang undian kelayakan Piala Asia 2027 pada Disember nanti.
“Kita sudah membuat perancangan rapi dan akan bermain dengan cara tersendiri, malah barisan kejurulatihan telah memperbaiki beberapa kelemahan yang berlaku pada perlawanan sebelum ini.
“Kita akan lihat bagaimana cara New Zealand bermain dan menerapkan beberapa pilihan (gaya permainan) yang ada. Perlawanan esok (hari ini) adalah sangat sukar kerana lawan memiliki barisan pemain yang beraksi di liga-liga teratas di Eropah, ranking lebih tinggi dan bermain di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 2006 lalu yang menyaksikan skuad negara tewas dalam dua aksi persahabatan yang berlangsung di Christchurch dan Auckland, dengan keputusan 0-1 dan 1-2.
Rekod pertemuan sejak 1967 juga menyaksikan Malaysia tewas lapan kali dan hanya mampu menang dua kali serta dua seri daripada 12 perlawanan.-UTUSAN