KULAI: Peluang rakyat Malaysia terutamanya warga Kulai, Johor untuk melihat penamat beramai-ramai peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 tidak kesampaian apabila pelumba VF Group Bardiani CSF Faizane, Manuele Tarozzi berjaya meloloskan diri daripada peloton sebelum melintasi garisan penamat, semalam.
Perlumbaan dari Batu Pahat hingga Kulai sejauh 123.4 kilometer (km) itu menyaksikan aksi kejar mengejar tercetus antara Tarozzi dan pelumba EF Education EasyPost, Stefan De Bod ketika 1km terakhir.
Tarozzi berkata, beliau cuba melakukan ‘breakaway’ untuk mendapat keputusan positif dan memberi pecutan akhir untuk mengetepikan cabaran oleh pelumba kelahiran Afrika Selatan berkenaan.
“Selepas melakukan pemecahan yang baik, De Bod yang memiliki kekuatan luar biasa cuba mengejar dan dia berkata hanya mahu mengekori saya sahaja (taktik untuk memintas)
“Bagaimanapun, pada 300 meter (m) terakhir saya melakukan henjutan sehingga ke garisan penamat,” kata Tarozzi kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan peringkat keenam, di sini, semalam.
Kemenangan semalam menyaksikan Tarozzi menjadi pelumba kelahiran Itali yang ke-36 untuk mengungguli peringkat perlumbaan LTdL dengan catatan masa dua jam 28 minit 58 saat (s) manakala Arvid De Kleijn dari Tudor Pro Cycling melengkapkan podium di tempat ketiga.
De Kleijn turut merampas Jersi Jingga selaku raja pecut diikuti Jersi Polka Dot (Raja Bukit) kekal menjadi milik wakil BH Burgos, Mario Aparicio dengan 27 mata manakala Jersi Putih (terbaik Asia) masih disarung oleh wakil JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi.
Peringkat keenam menandakan saingan berakhir di Semenanjung Malaysia dan akan dijadualkan akan berlangsung di Miri hingga Bintulu, Sarawak sejauh 199.3km dan menawarkan tiga zon pecutan di Suai, Nyalau dan Kidurong manakala satu zon pendakian di Bintulu.-UTUSAN