LONDON: Kai Havertz membuktikan kehadirannya dalam skuad kendalian Mikel Arteta musim ini bukan sekadar pelengkap senarai pemain di barisan serangan.
Pemain Jerman itu juga memastikan 65 juta pound (RM359.4 juta) yang dibelanjakan The Gunners untuk membelinya daripada Chelsea musim lalu berbaloi.
Penyerang 25 tahun itu meletakkan Arsenal di depan dalam kemenangan 2-0 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah dengan tandukan pada minit ke-20 di Stadium Emirates.
Musim lalu dia terpaksa mengharungi 10 perlawanan sebelum menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal, tetapi kali ini Havertz sudah meledak lima gol untuk kelab.
“Dia sangat luar biasa. Cara dia berfikir, mencari ruang, ketepatannya. Usahanya menakjubkan dan kini dia adalah ancaman utama bahagian depan. Dia antara pemain utama kami ketika ini.
“Sebelum ini, dia mungkin bermula dengan keadaan sukar, namun kini dia memiliki segalanya untuk mengetuai barisan hadapan kami,” kata Arteta berkenaan Havertz.
Arsenal beraksi jauh lebih baik berbanding juara Perancis itu di babak pertama, dengan Bukayo Saka menambah jaringan sebelum rehat untuk tuan rumah mengutip tiga mata penuh.
“Sangat gembira dengan prestasi pemain. Kami menentang lawan yang banyak personaliti. Sukar menangani mereka apabila anda tidak menguasai bola.
“Kami dominasi babak pertama dan mencipta banyak peluang tetapi selepas rehat cerita berbeza. Kami lebih banyak bertahan, namun kami dapat tanganinya,” kata Arteta.
Selepas seri 0-0 pada perlawanan pertama di Atalanta, kemenangan ke atas PSG melonjak Arsenal ke tangga kelapan daripada 36 pasukan Liga Juara-Juara ketika ini. – AGENSI/UTUSAN