BUTTERWORTH: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohamed Harrif Salleh kecewa selepas gagal menaiki podium pada peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Harrif yang mesra disapa ‘Mamat’ terlepas peluang untuk menaiki podium apabila dihalang untuk memintas ketika penamat beramai-ramai Dataran Pemuda Merdeka.
Beliau yang menamatkan saingan di tempat ketujuh berkata, dia berada dalam posisi terbaik untuk melakukan pecutan akhir bagi mencabar pakar pecut berkelas dunia pada kejohanan berprestij Asia terbabit.
“Saya berada dalam keadaan yang ‘segar’, namun pada ruang 50 meter (m) terakhir, saya ditutup oleh pelumba Bardiani (VF Group Bardiani CSF Faizane. Ianya membuatkan pecutan saya ‘mati’,” kata Harrif.
Ketika ditanya mengenai ruang 50m terakhir itu, Harrif berkata, beliau sudah berada di hadapan namun sedikit tersepit dan ketika itu, pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli mengambil peluangnya untuk memecut sekali gus bergelar juara pada saingan peringkat kedua berkenaan.
“Kalau saya tidak tersepit, sudah tentu saya mendapat podium, kerana momentum kelajuan saya sedang meningkat. Ketika itu Aiman ( Muhammad Nur Aiman Rosli) menarik saya sebelum dia terjatuh dalam kemalangan beramai-ramai,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Sukan TSG, Saiful Anuar Aziz berkata, Aiman menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan Jersi Putih dan dia berharap pelumba harapan itu dapat mengekalkan prestasinya pada peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highlands, hari ini.
“Aiman cuba yang terbaik dari peringkat awal pemecahan dan kalau diikutkan kiraan dia berjaya mengekalkan Jersi Putih.
“Apa yang kami mahu adalah untuk dia meraih mata di zon pecutan, sebelum Amirul Fakhruddin Mazuki mengambil alih tugasnya (berada dalam kumpulan pemecahan),” kata Saiful.-UTUSAN