PETALING JAYA: Harimau Malaya tidak boleh pulang dengan tangan kosong pada aksi persahabatan Tier 1 berdepan New Zealand di Stadium North Harbour, pada pukul 2 petang ini.
Biarpun kedudukan ranking Harimau Malaya jauh berbeza, dengan menghuni tangga ke-132 dunia berbanding New Zealand pada kedudukan ke-95 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk skuad kebangsaan tidak memberi saingan.
Skuad kebangsaan diharap sekurang-kurangnya mampu mencatat keputusan seri dan jika menang ia merupakan satu bonus untuk mereka.
Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente sedar dengan cabaran sukar bakal dihadapi anak buahnya namun telah merencana ramuan terbaik untuk mengejutkan New Zealand.
Katanya, semua pemain yang dibawa ke Auckland bebas kecederaan dan sudah bersedia untuk menghadapi skuad All Whites dalam memburu keputusan positif.
“Ia adalah sesi terakhir dan kita bernasib baik kerana semua 22 pemain bersedia untuk menghadapi perlawanan esok (hari ini). Tentu sekali kita sentiasa memberi fokus sepenuhnya kepada pasukan.
“Kita sudah membuat perancangan rapi dan akan bermain dengan cara tersendiri, malah telah memperbaiki beberapa kelemahan yang berlaku pada perlawanan sebelum ini.
“Kita akan lihat bagaimana cara New Zealand bermain dan menerapkan beberapa pilihan (gaya permainan) yang ada. Perlawanan esok adalah sangat sukar kerana lawan memiliki barisan pemain yang beraksi di liga-liga teratas di Eropah, ranking lebih tinggi dan bermain di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 2006 lalu yang menyaksikan skuad negara tewas dalam dua aksi persahabatan yang berlangsung di Christchurch dan Auckland, dengan keputusan 0-1 dan 1-2.
Rekod pertemuan sejak 1967 juga menyaksikan Malaysia tewas lapan kali dan hanya mampu menang dua kali serta dua seri daripada 12 perlawanan.
Pau Marti juga menegaskan bahawa setiap perlawanan diharungi skuad kebangsaan adalah istimewa baginya dan misi utama dirinya adalah memastikan Harimau Malaya terus melakar sejarah baharu.
“Bagi saya setiap perlawanan melibatkan pasukan negara adalah istimewa, kami mahu terus cipta sejarah dan aksi ini memberi peluang untuk kita memperbaiki kedudukan ranking FIFA.
“Kita ada motivasi sendiri dan sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik,” ujarnya pengendali dari Sepanyol itu.