MANCHESTER: Pep Guardiola mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ berhubung masa depannya sebagai pengurus Manchester City selepas tidak menandatangani kontrak lanjutan.
Ketika ini khabar angin bertiup kencang mengatakan pengendali dari Sepanyol itu akan meninggalkan City selepas kontraknya tamat pada hujung musim ini.
Prestasi semasa City di Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan kelab itu menghuni tangga kedua ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Liverpool.
“Saya tidak akan bercakap mengenai perkara itu, apabila ia akan berlaku, ia akan berlaku,” kata Guardiola.
Peminat City berharap jurulatih yang membawa pelbagai kejayaan kepada pasukan itu kekal sehingga ada yang mengangkat sepanduk di Stadium Etihad memohon agar dia tidak meninggalkan City.
“Mereka perlu membawa bil kepada saya, saya perlu membayar untuk sepanduk itu. Apa yang boleh saya katakan? Terima kasih banyak, saya jatuh cinta sejak hari pertama saya tiba di sini,” kata Guardiola.
Dalam pada itu, Guardiola turut mempertahankan City yang sedang menghadapi sesi pendengaran berhubung dakwaan pelanggaran peraturan kewangan liga.
“Saya adalah sebahagian daripada kelab ini, jauh di dalam jiwa saya dan cara terbaik untuk mempertahankan kelab adalah dengan menang perlawanan dan melakukan kerja saya sebaik mungkin.
“Sudah tentu, saya akan mempertahankan kelab saya, saya percaya kepada mereka…semua orang yang bekerja di sini, selama bertahun-tahun.
“Cara terbaik untuk mempertahankan adalah dengan melakukan kerja kita dengan baik, setiap orang yang bekerja di sini mempunyai tanggungjawab masing-masing,” katanya. – AGENSI/UTUSAN