ISKANDAR PUTERI: Persatuan Golf Malaysia (MGA) berhasrat mencungkil bakat baharu sukan itu menerusi penganjuran Kejohanan Golf Remaja Terbuka Antarabangsa MGA sempena Johor Golf Expo 2024 di Senibong Golf Club, Gelang Patah, di sini.
Kejohanan selama empat hari bermula Rabu lalu itu disertai seramai 60 peserta dari dalam dan luar negara yang berusia antara 9 hingga 18 tahun melibatkan tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun.
Pengarah Champions Golf dan Ketua Jurulatih Level 3 Persatuan Golf Profesional (PGA), Haldane Lee berkata, selain peserta Malaysia, kejohanan yang turut disertai peserta antarabangsa antaranya Singapura, Thailand dan Korea Selatan itu bertujuan memupuk pemain golf remaja selain memberi peluang mereka melibatkan diri dalam kejohanan bertaraf antarabangsa sejak usia muda.
“Kita percaya bakat-bakat golf muda ini dan ini merupakan platform terbaik buat mereka menonjolkan diri. Selain memenangi wang tunai, kejohanan ini juga menawarkan mata World Amateur Golf Ranking (WAGR),” katanya kepada pemberita di Senibong Golf Club, Gelang Patah, di sini semalam.
Tambah Haldane, pemenang Kejohanan Golf Remaja Terbuka Antarabangsa MGA ini turut berpeluang bermain golf bersama pemain-pemain golf profesional secara eksklusif serta mendapatkan tajaan biasiswa daripada universiti yang melibatkan diri dengan sukan golf kerana wakil-wakil mereka turut terlibat.
Sementara itu, Pengerusi Program Pembangunan Remaja Golf Kebangsaan MGA, Mohd. Fauzi Mesran berkata, Malaysia tidak ketandusan pelapis sukan golf bertaraf antarabangsa.
“Sehingga kini, terdapat seramai 60 pemain golf tempatan yang mengikuti biasiswa melanjutkan pengajian di universiti menerusi sukan golf,” ujarnya.
Kemuncak Johor Golf Expo 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 18 Oktober ini menyaksikan penglibatan seramai 70 pempamer dalam dan luar negara terlibat, selain penganjuran pameran dan seminar berkaitan sukan golf.
Johor Golf Expo 2024 dianjurkan Champions Golf dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) melalui anak syarikatnya, KPRJ Sports Sdn. Bhd.. – UTUSAN