ISKANDAR PUTERI: Generasi muda dinasihatkan tidak terlalu terikat dengan sesuatu bidang sukan, sebaliknya mereka perlu memberanikan diri mencuba sukan baharu dalam mencari potensi masing-masing.
Juara Keseluruhan Kategori Lelaki Kejohanan Golf Remaja Terbuka Antarabangsa Persatuan Golf Malaysia (MGA), Ammer Aiman Mohd. Fauzi, 17, memberitahu dia telah menyertai sukan itu sejak berusia 12 tahun walaupun mengakui pada awalnya lebih aktif dalam bola sepak, seperti majoriti kanak-kanak yang lain.
“Ahli keluarga saya memang bermain golf, tetapi semasa sekolah rendah saya tidak berapa minat, sebaliknya banyak fokus dalam sukan bola sepak.
“Namun selepas menyedari kurang bakat dalam bola sepak, saya mula menjinakkan diri dengan golf dan alhamdulillah, saya temui potensi diri dalam sukan ini.
“Sejak bermain golf pada usia 12 tahun, saya telah sertai banyak kejohanan dan menjuarai kira-kira 10 daripadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di Senibong Golf Club, di sini.
Justeru, Ammer Aiman menasihati golongan muda lebih berani mencuba bidang sukan baharu bagi mengenal pasti potensi diri mereka.
“Jika kita kurang cemerlang dalam sukan bola sepak, mungkin boleh cuba sukan lain,” katanya yang berhasrat mendapatkan biasiswa universiti menerusi sukan golf sebelum mewakili Malaysia sebagai atlet profesional pada masa depan.
Perkara sama turut disokong Juara Keseluruhan Kategori Wanita Kejohanan Golf Remaja Terbuka Antarabangsa MGA, Bae Eun Kyung, 16, yang berasal dari Korea Selatan.
Dia yang mula bermain golf lebih setahun lalu selepas mengikut ibu dan bapanya berpindah ke negara ini mengakui sebelum ini aktif dalam sukan taekwondo
“Namun, sejak berpindah ke Malaysia saya mula bermain golf untuk mengisi masa lapang sebelum mula meminatinya. Sejak itu, saya telah menyertai banyak kejohanan hampir setiap bulan dan mahu menjadikan sukan ini sebagai kerjaya profesional pada masa depan,” katanya.
Kejohanan Golf Remaja Terbuka Antarabangsa MGA yang berlangsung selama empat hari berakhir kelmarin disertai 60 pemain dari dalam dan luar negara melibatkan peserta berusia antara sembilan hingga 18 tahun.
Kejohanan ini merupakan sebahagian daripada program Johor Golf Expo 2024 yang dianjurkan Champions Golf dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) menerusi anak syarikatnya, KPRJ Sports Sdn. Bhd. – UTUSAN