PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui sukar untuk mencari lawan Harimau Malaya pada tempoh kalendar persahabatan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan.
Ini kerana kebanyakan pasukan terbaik di rantau Asia sudah mempunyai lawan masing-masing sepanjang tempoh berkenaan sekali gus skuad Harimau Malaya sekadar berpuas hati untuk berdepan Laos.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, terdapat kekangan bagi memilih yang terbaik kerana kebanyakan negara ketika ini sudah miliki jadual tersendiri untuk skuad kebangsaan masing-masing.
“Kita harus tahu bahawa 18 pasukan terbaik dari Asia sudah ada jadual masing-masing sehingga tahun depan iaitu menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Malah, Pau Marti Vicente selaku ketua jurulatih juga membuat keputusan untuk tidak mengatur perlawanan persahabatan bertemu empat pasukan dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste,” katanya.
Skuad Harimau Malaya akan berdepan Laos pada 14 November ini di Bangkok, Thailand dan selepas itu akna mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang India pada 19 November ini.- UTUSAN