LONDON: Pasaran perpindahan pemain bola sepak berdepan risiko besar selepas Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) memutuskan beberapa peraturan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenainya menyalahi undang-undang Kesatuan Eropah.
Keputusan tersebut yang melibatkan bekas pemain antarabangsa Perancis, Lassana Diarra, berpotensi mengubah landskap pasaran perpindahan.
ECJ menyatakan bahawa peraturan FIFA berkaitan kebebasan bergerak antara kelab adalah bertentangan dengan undang-undang Kesatuan Eropah mengenai persaingan.
“Peraturan yang dipersoalkan adalah seperti menghalang pergerakan bebas pemain bola sepak profesional yang ingin mengembangkan aktiviti mereka dengan pergi bekerja untuk kelab baharu,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Keputusan itu dijangka memberikan lebih banyak kuasa kepada pemain dan ejen mereka, yang kini berpotensi untuk memecahkan kontrak tanpa akibat dan menandatangani dengan kelab baharu tanpa keperluan untuk membayar pampasan kepada kelab lama sekali gus mendorong kelab untuk menawarkan kontrak yang lebih pendek di masa hadapan.
Diarra berkata, peraturan FIFA telah menghalangnya daripada mencari kelab baharu selepas kontraknya dengan Lokomotiv Moscow ditamatkan pada 2014.
“Saya tidak dapat mencari kelab baru kerana peraturan FIFA menghalang saya sepenuhnya dari berpindah ke kelab lain,” kata Diarra
Keputusan tersebut berkemungkinan akan mengurangkan yuran perpindahan dan memberi lebih kuasa ekonomi kepada pemain.
Sementara itu, FIFA menegaskan bahawa keputusan ini tidak mempunyai implikasi yang meluas dan hanya melibatkan aspek tertentu dalam peraturan mereka.
“FIFA berpuas hati bahawa kesahihan prinsip utama sistem pemindahan telah disahkan semula,” ujar mereka dalam satu kenyataan. – AGENSI/UTUSAN