LONDON: Erik Ten Hag kini memiliki dua perlawanan lagi untuk menyelamatkan tugasnya di Manchester United dan keputusan dalam perlawanan itu akan menentukan masa depannya di Old Trafford.
Pengurus dari Belanda itu, berdepan tekanan terutama daripada penyokong-penyokong yang majoriti menggesa Ten Hag dipecat susulan permulaan hambar untuk musim 2024-25.
Kekalahan 0-3 kepada Tottenham di tempat sendiri dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad lalu termasuk tewas dengan jaringan sama di tangan Liverpool (1 September) menyaksikan Red Devils terperosok di tangga ke-12 dalam carta liga.
Menurut laporan media Inggeris, difahamkan dia akan kekal bertugas minggu ini bagi menghadapi aksi penting menentang Porto dan Aston Villa.
United akan menentang gergasi Liga Primeira Porto dalam saingan Liga Europa pada awal pagi Jumaat di tempat lawan selepas bermula hambar selepas seri menentang kelab Belanda FC Twente di Old Trafford minggu lalu.
United kemudiannya akan berkunjung ke Aston Villa bagi aksi EPL dengan misi wajib menang dan akan beraksi tanpa kapten mereka, Bruno Fernandes dan pemain tengah berbakat Kobbie Mainoo.
Fernandes menerima kad merah kontroversi selepas mengasari James Maddison manakala Mainoo terpaksa dikeluarkan pada babak pertama akibat kecederaan.
Sementara itu, legenda United, Rio Ferdinand menegaskan walaupun 600 juta pound (RM3.3 bilion) telah dibelanjakan oleh Ten Hag sepanjang mengendali kelab itu bermula April 2022 namun tiada impak besar mampu dilakukannya.
“600 juta dibelanjakan tetapi tiada yang konsisten mampu dikekalkan.Saya tidak dapat melihat corak permainan sebenarnya yang ingin dibawa oleh Ten Hag.
“Tiada permainan berpasukan lebih kepada individu yang kita lihat untuk tempoh dua atau tiga tahun kebelakangan ini,” kata Ferdinand.
Dalam perkembangan sama, jika United mahu memecat Ten Hag, kelab itu perlu membayar 17.5 juta pound (RM96.55 juta) kepadanya yang memiliki kontrak hingga akhir musim depan.
Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding memecatnya pada Jun lalu, sebaliknya Man United melanjutkan kontraknya setahun lagi. – AGENSI/UTUSAN