BRATISLAVA: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya barisan pemainnya kembali menemui sentuhan penyudah terbaik selepas membenam Slovan Bratislava 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara, semalam.
Dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), Guardiola berang dengan barisan pemainnya apabila gagal menyudahkan deretan peluang yang terhidang ketika terikat 1-1 dengan Newcastle United, Sabtu lalu.
Ilkay Gundogan, Phil Foden, Erling Haaland dan James McAtee masing-masing menjaringkan gol ketika membelasah ‘pendatang baharu’ UCL itu sekali gus meraih empat mata daripada dua perlawanan.
Selepas seri 0-0 dengan Inter Milan pada perlawanan pertama, kemampuan Ciy meraih kemenangan besar awal pagi tadi di luar jangkaan Guardiola dan menganggap anak-anak buahnya sudah bangkit.
“Pemain saya beraksi dengan cemerlang dan bukan seperti sebelum ini (seri dengan Newcastle). Mereka bermain sangat baik, cipta banyak peluang dan mendapat tiga mata pertama dalam kejohanan ini.
“Tetapi saya tak fikirkan perbezaan gol. Menang perlawanan sudah cukup. Hari ini kemenangan pertama dan melonjak tinggi sedikit dalam kumpulan. Itu sudah cukup bagus,” kata Guardiola.
Sementara itu, Guardiola turut memuji prestasi Gundogan yang bangkit daripada aksi hambar ketika seri 1-1 dengan Newcastle dengan mengemudi jentera tengah dan membuka peluang untuk rakan lain menjaringkan gol.
Foden yang meledak 27 gol dalam semua kejohanan musim lalu akhirnya menjaringkan gol pertamanya buat City musim ini. – AGENSI/UTUSAN