KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) sudah memiliki calon ketua jurulatih yang disenarai pendek bagi mengisi kekosongan ditinggalkan bekas pengendali, Tomislav Steinbruckner.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, bagaimanapun berkata, TFC akan mengukur baju di badan sendiri sebelum melantik individu terbaik di kerusi panas itu.
Beliau menjelaskan, isu kewangan menjadi faktor utama pihak pengurusan dalam memilih nakhoda baharu bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia dan Kejuaraan Kelab Asean (ACC).
Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya meletakkan kepercayaan kepada Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFC untuk mengambil tindakan susulan.
“Ketika ini, pasukan sudah mempunyai penolong-penolong jurulatih untuk menjalankan tugas secara sementara sambil kita uruskan perkara ini dengan cermat dan terbaik.
“Senarai pendek sudah ada tetapi saya belum boleh bercakap lebih panjang, kita akan membuat penilaian terlebih (calon) sebelum buat keputusan terbaik.
“Kalau boleh mahu jurulatih sehebat Alex Ferguson atau Jurgen Klopp, namun tengok kemampuan kita dahulu,” katanya ketika ditemui sini, semalam.
Terdahulu TFC mengesahkan Steinbruckner melepaskan jawatannya bersama dua penolong jurulatih dengan tugas pengendali sementara kini digalas Badrul Afzan Razali sambil dibantu Hairuddin Omar.
Keputusan itu dibuat susulan kemerosotan prestasi skuad Penyu yang bergelut dengan prestasi dan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super serta ACC. – UTUSAN