PETALING JAYA: Cabaran lompat tali yang dianjurkan bersempena Sambutan Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan berlangsung meriah dengan disertai kira-kira 500 orang peserta.
Acara yang berlangsung di Dewan Melati Perbadanan Putrajaya (PPj) itu dianjurkan Persatuan Lompat Tali Malaysia dengan tajaan daripada penegeluar minuman probiotik, Yakult Malaysia.
Pengurus Kanan Yakult Malaysia, Lim Siew Ling berkata, program itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran kepentingan bersukan dan menggalakan komuniti untuk lebih aktif demi kesihatan.
“Yakult sangat menyokong segala program dan aktiviti yang dapat meningkatkan fungsi usus yang baik seperti bermain lompat tali ini. Ia dapat meningkatkan kesihatan fizikal dengan memperbaiki peredaran darah, melancarkan fungsi usus, serta menguatkan koordinasi badan dan keseimbangan.
“Bagi memeriahkan suasana Hari Sukan Negara ini, kami menyediakan sampel produk kepada peserta dan penonton, sambil menekankan manfaat pengambilan Yakult. Selain itu, kami juga berbangga diberi peluang menaja piala pusingan untuk semua pemenang dalam setiap kategori.
“Melalui kerjasama dengan penganjur acara, kami turut membantu mempromosikan gaya hidup yang aktif dan sihat. Matlamat kami adalah untuk melibatkan orang ramai dalam aktiviti kecergasan yang menyeronokkan sambil menekankan kepentingan penjagaan ususmelalui pengambilan Yakult secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sie Ling, pada masa akan datang, pihaknya akan terus menyokong inisiatif sukan dan kesejahteraan dengan menganjurkan lebih banyak aktiviti kecergasan berasaskan komuniti.
“Kami akan meneruskan program Misi Sihat Yakult di sekolah, dengan memberi tumpuan kepada aktiviti Lompat Tali. Selain itu, Yakult merancang untuk meningkatkan penyertaan dalam acara kebangsaan seperti Hari Sukan Negara dan memperluaskan penglibatan dalam program sukan bagi mempromosikan kepentingan kesihatan usus dan kecergasan untuk semua peringkat umur,” katanya.-UTUSAN