LONDON: Enzo Maresca berkata, Chelsea belum bersedia menyaingi Manchester City dan Arsenal dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris di sebalik permulaan cemerlang musim ini.
The Blues kini menduduki tangga keempat liga dengan 15 gol dan ia merupakan jaringan terbanyak dalam divisyen selepas menang empat daripada enam perlawanan setakat ini.
Cole Palmer yang menjaringkan empat gol ketika menentang Brighton minggu lalu merupakan salah pemain yang semakin hebat ketika ini.
Maresca membuktikan kelainan kesebelasan Chelsea apabila mereka menang 4-2 ke atas Gent dalam saingan LIga Konferens, kelmarin.
Namun, selepas tiga bulan bersama kelab itu, bekas pengurus Leicester itu menolak tanggapan pasukannya mampu memberi cabaran kepada kedudukan dua tangga teratas liga sekali gus merealisasikan kejuaraan buat pertama kali sejak 2017.
“Saya tidak yakin kami mampu bersaing dengan City dan Arsenal. Hakikatnya kami belum bersedia. Ini kerana City di bawah pengurus yang sama selama sembilan tahun manakala Arsenal selama lima tahun. Jika anda mahu bersaing yang paling utama ialah tempoh masa,” katanya.
Chelsea akan menentang Nottingham Forest hari ini dan mengharapkan kemenangan keempat liga.
Kali terakhir Forest bertandang ke Stamford Bridge ialah pada tahun lalu dan mereka menang 1-0 ke atas tuan rumah. – AFP/UTUSAN