BARCELONA: Barcelona akan memburu sebanyak mungkin jaringan dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini kerana jumlah gol boleh menjadi penentu untuk pasukan layak ke peringkat seterusnya.
Gergasi Sepanyol itu menang besar 5-0 ke atas Young Boys dalam aksi Liga Juara-Juara, semalam dengan Robert Lewandowski kembali menemui sentuhan jaringan apabila meledak dua gol
Kemenangan itu juga menyaksikan The Catalan yang juga juara lima kali menebus kekalahan di tangan Monaco pada perlawanan pertama dengan membelasah lawan dari Switzerland itu.
Raphinha dan Inigo Martinez turut menembusi gawang manakala jaringan sendiri lawan membolehkan skuad Hansi Flick mencapai matlamat dengan mendapatkan banyak gol.
Raphinha berkata, dengan format baharu Liga Juara-Juara iaitu satu kumpulan untuk semua pasukan, jumlah jaringan boleh menjadi penentu nasib untuk meneruskan kemaraan.
“Adalah penting menjaringkan seberapa banyak gol dan ia boleh direbut ketika menentang pasukan yang agak lemah. Namun, kami tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan.
“Kami tahu selepas perlawanan menentang Monaco kami perlu bangkit segera pada aksi seterusnya dan dalam perlawanan ini kami melakukannya dengan baik sekali.” – AGENSI/UTUSAN