MOTEGI: Francesco Bagnaia merapatkan jurang kepada 10 mata dengan Jorge Martin bagi perebutan gelaran dunia selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun, hari ini.
Juara bertahan dari Itali itu, Bagnaia, memotong Pedro Acosta yang bermula di petak pertama pada pusingan pertama di Motegi dan kekal di hadapan sebelum menamatkan perlumbaan 1.189 saat di depan Martin manakala Marc Marquez di tempat ketiga.
Pelumba Ducati itu turut memenangi perlumbaan pecut, semalam.
Lebih manis ia merupakan kemenangan pertama Bagnaia di GP Jepun dan yang kelapan pada musim ini.
“Tidak mudah hari ini untuk kekal konsisten dengan perlu menjaga penggunaan tayar. Saya rasa rentak perlumbaan sangat luar biasa dalam 10 pusingan pertama.
“Kami perlu terus fokus perlumbaan seterusnya dengan misi yang sama, strategi yang sama, dan cuba untuk teruskan rentak cemerlang ini,” kata Bagnaia.
Perlumbaan yang berbaki empat perlumbaan lagi, diteruskan di MotoGP Australia di Phillip Island dalam tempoh dua minggu lagi.- AFP