KANGAR: Atlet-atlet elit olahraga negara perlu konsisten dan tidak memilih untuk menyertai pertandingan tertentu sahaja seperti yang pernah berlaku di mana ada yang menolak menyertai Sukan SEA yang dianggap kelas rendah.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya akan menghantar atlet yang mempunyai prestasi tinggi termasuk dalam temasya Sukan SEA yang dijadual berlangsung tahun depan.
Katanya, untuk berada di tahap terbaik, atlet negara perlu menyertai pelbagai kejohanan dengan terus meningkatkan prestasi bukan hanya datang setahun sekali untuk menyertai Sukan SEA semata-mata.
“Ada atlet-atlet yang menjalani latihan di luar negara khususnya juga perlu mempamerkan prestasi yang terbaik terlebih dahulu.
“Mereka kena ada rekod kesinambungan, ini kerana dulu ada juga atlet yang berlatih di luar negara dan enggan untuk menyertai kejohanan seperti Sukan SEA yang dianggap rendah.
“Sebab itu, KOM tidak akan bagi, sebab kita hendak beri peluang ini kepada atlet yang betul-betul komited buat negara,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series 5 di Kompleks Tuanku Syed Putra di sini, semalam.
Menurut Shahidan, pihaknya juga akan membuka ruang dan peluang kepada atlet-atlet yang komited untuk berjuang demi negara dalam mana-mana temasya sukan khususnya di peringkat antarabangsa.
Katanya, atlet-atlet olahraga di negara ini mempunyai peluang menyertai sekurang-kurangnya lapan pertandingan dalam masa setahun.
Katanya, Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series 5 antaranya merupakan medan terbaik buat para atlet mengasah bakat sebelum bersaing ke peringkat lebih tinggi.
“Jadi semua atlet mempunyai banyak ruang dan peluang untuk mendapat pendedahan di samping mengasah bakat mereka agar lebih kompetetif,” katanya.
“Malah, dalam kejohanan super series kali ini, dua rekod kebangsaan berjaya dipecahkan menerusi atlet lontar peluru, Nani Sahirah Maryata dan pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang memecahkan rekod selepas 31 tahun,” katanya.
-habis-