LISBON: Ruben Amorim berkata belum ada sebarang perjanjian dimuktamadkan untuk beliau menjadi pengendali baharu Manchester United selepas Sporting mengumumkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sedia membayar klausa pelepasannya sebanyak 10 juta euro (RM47.2 juta).
The Red Devils mengharapkan jurulatih kelahiran Portugal itu boleh menyertai mereka secepat mungkin dan mengendalikan pasukan bagi aksi liga menentang Chelsea di Old Trafford Ahad ini, namun Amorim tidak mengesahkan apa-apa perjanjian yang dibuat Bersama bekas juara EPL 20 kali itu.
“Saya tidak ada apa-apa untuk diperkatakan sekarang, kami menganalisis di sini. Apa saja yang saya katakan akan mencetus lebih banyak bunyi bising. Tiada apa yang mahu diperkatakan mengenainya.
“Ada kenyataan kelab, setiap orang sudah mengetahui mengenainya. Ia sudah dikatakan oleh kelab dan selebihnya, kami tidak tahu butiran sebenarnya. Kami akan tunggu dan lihat.
“Ada hasrat di pihak kelab itu (United), yang berunding dengan Sporting, tetapi ia sering kali membabitkan keputusan saya. Bercakap mengenainya ketika ini hanya mencetus huru-hara buat kelab dan situasi keseluruhan ini.
“Saya tidak boleh janjikan apa-apa. Apa yang saya tahu saya akan berada di pusat latihan esok dan saya menyiapkan pasukan bagi aksi liga menentang Estrela da Amadora pada Jumaat,” kata Amorim pada sidang akhbar selepas Sporting menang 3-1 ke atas Nacional pada suku akhir Piala Liga Portugal, awal pagi tadi.
Sebelum ini, United membuat keputusan untuk memecat Erik Ten Hag selepas pengendali dari Belanda itu gagal membawa The Red Devils mencapai keputusan lebih baik di peringkat domestik dan saingan Eropah.
Amorim, 39, yang muncul pilihan utama sejurus selepas pemecatan Ten Hag, mengemudi Sporting merangkul kejuaraan Primeira Liga pada tahun 2021, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 19 tahun.
Media Portugal melaporkan perlawanan terakhirnya bersama Sporting adalah menentang Nacional awal pagi tadi dan Amorim kemudiannya diramal berunding dengan United untuk ke Old Trafford.-AGENSI