KULAI: Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 memasuki ‘episod’ baharu apabila para pelumba bakal beraksi dalam dua peringkat terakhir di Sarawak.
Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 peringkat keenam dari Batu Pahat ke Kulai semalam, menandakan laluan di Semenanjung Malaysia telahpun berakhir.
Kesemua pelumba kini mengalihkan tumpuan mereka kepada baki dua peringkat lagi iaitu dari Miri ke Bintulu (peringkat ketujuh) dan Bintulu ‘Loop’ (peringkat kelapan).
Kedua-dua peringkat itu menyaksikan pelumba akan beraksi di laluan lantai dan hanya menawarkan satu zon pendakian di peringkat ketujuh di Bintulu.
Dengan ketiadaan pakar pecut, Simon Carr dari EF Education-EasyPost yang tersingkir di peringkat keempat, ia membuka peluang pelumba lain mencipta kejutan.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ini peluang terbaik untuk pelumba Malaysia melakar kejutan untuk meraih kedudukan podium pada baki dua perlumbaan terakhir.
Pada perlumbaan peringkat keenam semalam, Ahmad Syazrin Awang Ilah dari MPC berjaya meraih di tempat ke-23 sekaligus menjadi pelumba terbaik Malaysia.
Sementara itu, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dari Terengganu Cycling Team (TSG) kekal pelumba terbaik Malaysia untuk kedudukan Jersi Hijau dengan berada di tempat ke-41.-UTUSAN