Aaron-Wooi Yik kembali beraksi selepas kecederaan pulih

Aaron-Wooi Yik kembali beraksi selepas kecederaan pulih

Aaron-Wooi Yik bersama Leong Wai Yin (kiri) pada Majlis Penyampaian Insentif Sukan Olimpik 2024 Paris oleh 100Plus di MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu badminton lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik amat berharap dapat dapat kembali kepada prestasi terbaik mereka selepas berehat selama lebih sebulan gara-gara kecederaan yang menimpa Wooi Yik.

Pasangan No. 5 dunia itu tidak menyertai sebarang kejohanan selepas membawa pulang pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2024 di Paris kerana kecederaan retak jari kaki yang dialami pemain berusia 26 tahun itu.

Wooi Yik berkata, dia baru sahaja kembali menyertai sesi latihan dan akan berangkat ke Eropah bersama Aaron, hujung minggu ini.

“Selepas lama berehat, sudah tentu saya mahu menang dalam kejohanan yang saya sertai untuk kembalikan keyakinan.

“Kita akan lihat bagaimana keadaan saya nanti,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Insentif Sukan Olimpik 2024 Paris oleh 100Plus di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Insentif sebanyak RM150,000 diterima Aaron-Wooi Yik daripada Pengarah Pemasaran F&N Beverage Marketing Sdn. Bhd., Leong Wai Yin.

Aaron-Wooi Yik dijangka menyertai Terbuka Arctic di Finland 8-13 Oktober dan Terbuka Denmark 15-20 Oktober ini.

Selaku juara bertahan Terbuka Denmark, Wooi Yik memberitahu, dia mensasarkan untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka dan berharap mampu berbuat demikian walaupun baru sahaja pulih daripada kecederaan.

Sementara itu, mengulas pula mengenai insentif yang diberi 100Plus, Wooi Yik berkata, hadiah tersebut telah memberinya motivasi untuk memberikan yang terbaik dalam kejohanan yang disertai.

“Ini satu penghargaan besar kepada saya dan Aaron, saya berhasrat menggunakan wang ganjaran ini untuk makan besar dengan keluarga dan pasukan jurulatih yang banyak membantu kami selama ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya