KUALA LUMPUR: Pemain beregu No. 1 negara, Soh Wooi Yik tidak mahu mengambil risiko dan memilih untuk menarik diri daripada Terbuka China, minggu depan.
Wooi Yik berkata, dirinya masih belum bersedia sepenuhnya untuk aksi tersebut biarpun kecederaan retak tulang jari kaki kanannya semakin pulih.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkata, dia belum mendapat kekuatan dan kecergasan yang diingini untuk bersaing di kejohanan berstatus Super 1000 itu.
“Setakat ini, pemulihan saya berjalan lancar. Saya berada pada tahap 70 peratus dan menerima pelepasan untuk memulakan latihan biasa minggu depan.
“Saya berhati-hati dengan pemulihan saya kerana kekuatan dan kecergasan saya sudah berkurangan sepanjang sebulan saya alami kecederaan. Saya perlu mendapatkan itu semula,” katanya.
Sebelum ini,ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen memaklumkan pemain berusia 26 tahun itu berkemungkinan akan bermain pada Terbuka China.
Dalam pada itu, Wooi Yik yang berharap untuk beraksi di Terbuka Artik bulan depan menjelaskan bahawa kecederaan tulang yang beliau alami memerlukan tempoh sewajarnya untuk proses penyembuhan dan ianya sama sekali tidak sama dengan kecederaan biasa.
“Kecederaan jenis ini bukan seperti pada tangan dan kaki yang mana anda boleh menguatkan otot untuk menyokongnya.
“Anda perlu bersabar dan biarkan tulang sembuh dengan baik dari masa ke masa. Ianya tidak boleh tergesa-gesa. Itu sebabnya saya berehat selama sebulan ini,” jelasnya.-UTUSAN