GEORGETOWN : Aksi cemerlang penyerang import kelahiran Australia, Dylan Wenzel-Halls ketika menentang Negeri Sembilan FC kelmarin akan menjadi penyelesaian kepada penyudah tumpul skuad Harimau Kumbang.
Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, Wenzel-Halls berjaya mempamerkan prestasi terbaik termasuk menjaringkan satu gol ketika berdepan Negeri Sembilan biarpun baru beraksi dalam dua perlawanan.
“Ini (kemampuan untuk menjaringkan gol) merupakan satu motivasi yang baik bagi beliau. Saya berharap dan yakin beliau akan kembali lebih baik dalam perlawanan-perlawanan akan datang.
“Bukan sahaja Dylan (Wenzel-Halls), tetapi pemain-pemain lain juga perlu lebih tenang di depan gol selepas ini. Tak guna jika kita menghasilkan banyak peluang tapi gagalkan jaringkan gol. Itu (aspek) yang akan kita tingkatkan pada setiap sesi latihan selepas ini iaitu untuk mempertajamkan sentuhan penyudah di depan gol,” kata Akmal.
Mengulas lanjut mengenai aksi menentang skuad Hobin Jang Hobin itu, beliau berkata, kelekaan pemain selepas mendahului 2-1 menyebabkan pasukan dihukum dengan gol penyamaan pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Selain itu katanya, tiada sebarang rombakan akan dibuat dalam perlawanan akan datang kerana rata-rata pemain mempamerkan aksi memuaskan dalam perlawanan itu walaupun mereka gagal meraih tiga mata penuh gara-gara kesilapan kecil.
“Kesilapan-kesilapan kecil inilah sebenarnya yang membuatkan kita gagal untuk menang.
“Bukan sesuatu yang mudah apabila kita terpaksa menggunakan dua pemain baharu di bahagian pertahanan kerana Victor (Rafael) dan Adib (Ra’op) masih belum cergas 100 peratus,” ujar beliau.
Tambah Akmal, kehadiran semula dua tonggak pertahanan itu dalam perlawanan akan datang diharap dapat mengukuhkan semula benteng pertahanan Harimau Kumbang yang dilihat agak rapuh terutamanya apabila melepaskan gol pertama ketika aksi perlawanan belum sampai satu minit berlangsung.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Nanthakumar berpuas hati kerana pasukannya berjaya mencuri satu mata daripada Penang FC dalam perlawanan berkenaan.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati kerana pemain-pemain saya nampak begitu bersemangat. Ada penambahbaikan berbanding ketika kita kalah kepada Perak sebelum ini,” jelas beliau.- UTUSAN