Verstappen beri bayangan tinggalkan F1

Verstappen beri bayangan tinggalkan F1

MAX Verstappen menduduki tempat kedua di GP Singapura.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Juara dunia, Max Verstappen, memberi bayangan mungkin meninggalkan Formula Satu (F1) lebih awal daripada yang dijangka jika sukan itu terus menghalangnya daripada menjadi dirinya sendiri.

Verstappen, 26, yang mewakili pasukan Red Bull, diarahkan oleh FIA untuk menjalankan kerja khidmat komuniti selepas menggunakan kata-kata kesat dalam satu sidang akhbar di Grand Prix Singapura, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Verstappen menyifatkan hukuman itu sebagai ‘sangat bodoh’ dan merasakan ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Perkara seperti ini boleh menentukan masa depan saya dalam F1.Apabila anda tidak boleh menjadi diri sendiri dan perlu berurusan dengan perkara bodoh seperti ini, ia menjadi sangat memenatkan,” kata Verstappen.

Dalam GP Singapura kelmarin, Verstappen menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang pemandu McLaren, Lando Norris manakala rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Menurut Verstappen, selepas mencapai kejayaan seperti memenangi kejuaraan dan perlumbaan, seseorang pemandu juga ingin menikmati kariernya tanpa dibelenggu perkara-perkara remeh.

Sebelum ini, Verstappen pernah menyatakan bahawa beliau tidak akan berlumba sehingga usia seperti rakan pemandu lain, seperti Lewis Hamilton yang kini berusia 39 tahun dan Fernando Alonso, 43 tahun.

Katanya, jika terus berhadapan dengan perkara seperti ini, ia bukanlah cara yang diinginkan untuk terus berada dalam sukan berprestij itu.

“Jika saya tidak boleh menjadi diri sendiri, lebih baik saya tidak bercakap. Itu bukan apa yang orang mahukan kerana anda akan kelihatan seperti robot, dan itu bukan cara sebenar untuk beraksi dalam sukan ini.

“Pada satu tahap, apabila sudah cukup, maka ia memang sudah cukup. Kita akan lihat apa yang akan berlaku, tetapi bagi saya, F1 akan terus berjalan walaupun tanpa saya,” tambahnya-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya