UPM sasar pertahankan kejuaraan SUKIPT 2024

UPM sasar pertahankan kejuaraan SUKIPT 2024

UPM mahu mempertahanka status juara bertahan SUKIPT 204 yang berlangsung di UUM pada 6 hingga 14 September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) optimis mampu mempertahankan kejuaraan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang akan diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 6 hingga 14 September ini.

Pegawai Belia Sukan Kanan UPM, Muhamad Malik Ahmad Tobias menyatakan bahawa persediaan UPM untuk SUKIPT pada edisi kali ini telah dimulakan sejak tahun lepas. 

Menurutnya, walaupun perkampungan sukan diadakan agak lewat kerana cuti semester dan peperiksaan pelajar, pasukan tetap melakukan persediaan rapi berdasarkan penyertaan dalam kejohanan-kejohanan terdahulu.

“Kita telah memulakan persediaan sejak awal tahun lagi, meskipun tidak berterusan kerana ia bergantung kepada program dan kejohanan terdahulu yang disertai. Kali ini, perkampungan sukan kita agak lewat kerana cuti semester dan peperiksaan pelajar baru,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa tempoh persiapan dua minggu sebelum SUKIPT adalah mencukupi bagi kebanyakan sukan. Namun, beberapa sukan yang menerima peruntukan khusus telah memulakan persiapan lebih awal.

“Ada sukan yang mula berlatih lebih awal, terutamanya yang mempunyai peruntukan daripada kementerian atau yang sudah ditetapkan sejak awal. Kita menilai prestasi berdasarkan penyertaan sebelum ini,” tambahnya.

UPM, yang merupakan juara keseluruhan SUKIPT untuk tiga edisi berturut-turut, meletakkan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan tersebut. 

Walaupun sedar akan saingan sengit daripada institusi lain seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UPM optimis dengan strategi dan kekuatan dalam beberapa acara individu seperti olahraga dan sukan tempur.

“Kita sedar akan saingan hebat dari rakan-rakan IPT lain seperti UiTM dan UPSI, tetapi kita ada strategi tersendiri untuk bersaing hebat. Kita fokus pada acara individu seperti olahraga dan sukan tempur untuk menambah koleksi emas,” ujarnya.

UPM mensasarkan untuk mengekalkan  38 pingat yang telah dikecapi pada temasya yang lepas,dengan harapan adanya sukan tambahan yang mampu menyumbang kepada pencapaian lebih baik.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, beliau berharap atlet-atlet UPM mampu beraksi dengan mentaliti seorang juara walaupun status juara bertahan sering kali membuatkan mereka menjadi sasaran utama pasukan lawan.

“Paling penting adalah semangat juang sebagai juara. Memang apabila jadi juara bertahan, semua orang mahu kalahkan kita. Namun, saya yakin dengan kekuatan dan persediaan pasukan serta semangat yang tinggi, insyaAllah kita akan cuba mempertahankan kejuaraan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya