TFC pertaruh barisan terkuat hadapi Sabah

TFC pertaruh barisan terkuat hadapi Sabah

ISMAHEEL Akinade dijangka menjadi taruhan TFC dalam aksi menentang Sabah FC, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) akan mempertaruhkan barisan terkuatnya bagi membawa pulang tiga mata dari Stadium Likas pada aksi Liga Super bertemu Sabah, malam ini.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, antara yang sedia diturunkan ialah penyerang baharu, Nelson Bonilla, yang pastinya diberi tugas mengetuai barisan depan skuad Penyu.

Selain itu empat tonggak Harimau Malaya, Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan turut berada dalam perancangan kesebelasan utama Steinbruckner.

“Bagaimanapun Shahrul Nizam (Roshasni) terpaksa diketepikan kerana kecederaan otot, jadi mungkin Safwan dan (Matthew) Steenvoordeen digandingkan di posisi bek tengah.

“Di bahagian serangan, saya berharap Bonilla menunjukkan sentuhan penyudahnya sebagai seorang penyerang tulen dan dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan ini.

“Kehadirannya memberi pilihan kepada saya untuk merencana strategi lebih baik bagi menggempur kubu Sabah sambil dibantu Safawi, Akhyar dan (Ismaheel) Akinade,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam pada itu, Steinbruckner mengakui TFC tetap menjangkakan tentangan sukar dari anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee itu meskipun rekod dua pertemuan musim ini memihak Sang Penyu.

Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, kemenangan 4-0 dan 3-0 dalam aksi Piala FA, dua bulan lalu, bukan alasan untuk skuad kendaliannya mengambil mudah tentangan daripada tuan rumah.

“Pemain-pemain saya harus melupakan dua keputusan itu kerana Sabah juga mendapat khidmat kehadiran penyerang baharu, Joao Pedro dan memiliki pemain berkualiti di semua posisi.

“TFC perlu berdisiplin dan menyudahkan peluang di depan pintu gol jika berhasrat membawa pulang mata penuh setelah hanya seri dalam aksi terakhir, bulan lalu,” jelas Steinbruckner.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya