KUALA NERUS: Selangor mengukuhkan kedudukan di tempat kedua Liga Super setelah mengalahkan Terengganu FC (TFC) 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, malam ini.
Kemenangan itu dibantu jaringan pantas Ronnie Fernandez ketika aksi baru berusia 27 saat hasil gerakan satu dua bersama Alvin Fortes berpunca kesilapan pemain tengah TFC, Marin Pilj.
Ketinggalan satu gol, TFC mula meningkat tekanan menerusi serangan balas Akhyar Rashid minit ketiga namun percubaan pemain Harimau Malaya itu tinggi melepasi sasaran.
Ketua pasukan, Safawi Rasid, turut hampir mengikat kedudukan selepas menerima hantaran Manuel Ott malangnya percubaan pemain TFC itu minit ke-19 melencong ke sebelah tepi.
Hanya seminit kemudian kelekaan pertahanan tuan rumah mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya juga nyaris dihukum mujur rembatan Ali Olwan tinggi dari sasaran.
TFC berjaya memperkemas rentak selepas rehat menyaksikan percubaan Nurillo Tukhtasinov minit ke-57 dan Ismaheel Akinade minit ke-67 terus menguji kubu ‘The Red Giants’.
Keghairahan tuan rumah menyerang hampir membawa pada selepas sepakan leret bek kanan Selangor, Quentin Chang (m-68) terkena tiang sebelum tindakan susulannya diselamatkan penjaga gol.
Hasrat TFC sekurang-kurangnya meraih satu mata tidak kesampaian selepas tandukan Akinade (m-80) dan Argzim Redzovic (m-90) tersasar dengan keputusan 0-1 kekal memihak Selangor.
Kemenangan itu membantu Selangor memungut 25 mata di tempat kedua manakala TFC yang tewas buat kali pertama di laman sendiri kekal dengan 16 mata di kedudukan ketiga. – UTUSAN