KUALA NERUS: Tuan rumah, Terengganu Turtles dan juara bertahan, KL Thunder akan membuat perhitungan dalam aksi final Liga Sepak Takraw (STL) GP Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, malam ini.
Dalam pertarungan separuh akhir, sebentar tadi, skuad Turtles mempertaruhkan apit kiri, Muhamad Zulhusni Basri, apit kanan, Alif Mursyid Rosli dan tekong import dari Thailand, Teerapat Promnin.
Regu Terengganu itu menang 2-1 ke atas PDRM Defenders yang dibarisi Pharitat Kaewnunual, Mohd. Syukri Hasan dan Mohd. Syahmi Hussin dengan kemenangan ‘rubber set’ 15-8, 6-15, 15-11.
Manakala KL Thunder yang menjuarai GP Selangor, dua minggu lalu, mara ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut selepas mengalahkan Penang Black Panthers, 2-0, sebentar tadi.
Regu diketuai tekong berbisa, Mohamad Syahir Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan tonggak import, Sirisak Anuloon itu menang 15-9, 15-10 ke atas regu Penang Black Panthers.
Pertembungan final malam ini dijangka sengit dengan aksi daripada Mohamad Syahir dan tekong tuan rumah, Zulkifli Abdul Razak bagi menentukan juara GP Terengganu STL 2024.
Pada aksi GP Selangor, dua minggu lalu, KL Thunder muncul juara selepas menewaskan Perak Bison 2-0 manakala tempat ketiga dimenangi Selangor Pistons yang mengatasi PDRM Defenders, 2-1. – UTUSAN