KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mencabar anak-anak buahnya bangkit pada aksi kedua Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) bertemu kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC, malam ini.
Menurut Steinbruckner, skuad Sang Penyu tiada pilihan selain mengutip mata penuh menentang kelab Vietnam itu selepas bermula dengan langkah sumbang tewas pada aksi pembukaan ACC, bulan lalu.
Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, skuad bimbingannya harus mempamerkan karakter sebenar jika mahu menghidupkan peluang ke separuh akhir selaku dua pasukan terbaik Kumpulan A.
Steinbruckner bagaimanapun tetap menjangkakan tentangan sengit Thanh Hoa FC yang juga pendahulu kumpulan selepas mereka menang 3-1 ke atas wakil Myanmar, Shan United pada aksi pertama.
“Selepas menonton perlawanan mereka, (Thanh Hoa FC) sebuah pasukan yang bagus dibarisi barisan pemain tempatan dan import berkualiti menjadikan pertemuan esok lebih sukar.
“Ketika aksi pembukaan, kami dibolosi gol mudah dan hanya bangkit selepas rehat, jadi TFC tidak boleh mengulangi kesilapan itu sebaliknya cuba menguasai rentak dari minit pertama.
“Apa yang saya mahukan pemain-pemain TFC menunjukkan karakter serta keinginan untuk memenangi perlawanan itu,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan, semalam.
Bagi ketua pasukan TFC, Safawi Rasid, dia turut menuntut rakan-sepasukannya bangkit dengan menjadikan kelab Vietnam itu sebagai mangsa pertama dalam saingan ACC.
Tonggak Harimau Malaya itu berkata, percaturan Steinbruckner diyakini mampu menjinakkan Thanh Hoa FC walaupun TFC agak tempang tanpa beberapa tonggak utama.
“Kekalahan pertama sangat mengecewakan kami namun barisan kejurulatihan sudah membuat kerja rumah untuk mengkaji kelemahan serta kekuatan pasukan lawan Vietnam ini.
“Pemain-pemain sudah bersedia beraksi dan memburu kemenangan pertama dalam kejohanan ini bagi mencerahkan semula peluang merebut slot ke separuh akhir,” ujarnya.-UTUSAN