KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) perlu menyalahkan diri sendiri selepas sekadar seri 2-2 dengan kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), kelmarin
Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, skuad Penyu berhak memenangi perlawanan itu namun dikecewakan ketumpulan penyudah dan kesilapan individu.
Malah Steinbruckner mengakui keputusan seri itu menyukarkan peluang TFC merebut dua tempat teratas Kumpulan A untuk ke pusingan separuh akhir yang berbaki tiga perlawanan.
“Kami bermain baik pada 45 minit pertama dengan penguasaan tempo permainan dan mendahului 2-0 menuju separuh masa, malah kami layak meraih lebih dari satu mata.
“Bagaimanapun kesilapan mudah ketika bertahan menyebabkan pasukan lawan bangkit menyamakan kedudukan 2-2 sehingga menjejaskan motivasi pemain saya.
“Selepas itu TFC mempunyai deretan peluang terhidang untuk memenangi permainan namun gagal disudahkan dengan sempurna memaksa kami berpuas hati dengan seri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam perlawanan itu TFC terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan solo Akhyar Rashid pada minit ke-20 dan tolakan kemas Manuel Ott (m-41) menerusi umpanan Azam Azmi Murad.
Namun kelebihan dua gol itu disia-siakan selepas sepakan percuma Luis Antonio Suares dan jaringan sendiri Ubaidullah Shamsul Fazili menghadiahkan satu mata buat Thanh Hoa FC.
Namun di sebalik keputusan itu, Steinbruckner menyifatkan persembahan skuad kendaliannya sudah hampir sempurna dan tetap berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan.
“Kami gagal menjaringkan lebih banyak gol dan ini juga bukan keputusan yang diharapkan tetapi secara keseluruhan TFC bermain baik untuk sebahagian besar perlawanan.
“Walaupun semakin sukar, peluang masih belum tertutup untuk TFC melakukan keajaiban dalam baki tiga perlawanan dan seterusnya meneruskan kemaraan ke separuh akhir,” jelasnya.-UTUSAN