KUALA LUMPUR: Tajikistan muncul pemenang tempat ketiga Pestabola Merdeka 2024 selepas berjaya menumpaskan Filipina 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada masa sebenar perlawanan yang memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Dalam aksi itu, Filipina yang tampil dengan strategi menyerang, memanfaatkan kelajuan pemain sayap mereka, sementara Tajikistan lebih banyak bermain secara berhati-hati dengan mengukuhkan barisan pertahanan.
Tajikistan banyak bergantung kepada serangan balas pantas, dengan beberapa peluang terhidang, namun ia berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Filipina, Kevin Ray Mendoza yang bertindak cemerlang untuk menafikan beberapa percubaan tepat lawan.
Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan berjaya direkodkan oleh kedua-dua pasukan dalam aksi 90 minit perlawanan dengan sepakan menjadi jalan terakhir untuk menentukan pemenang.
Filipina mensia-siakan dua sepakan penalti awal apabila Jefferson David Tabinas dan Javier Augustine Gayaso gagal menyempurnakan sepakan masing-masing.
Tajikistan pula lebih tenang dalam sepakan penalti apabila empat daripada lima tendangan berjaya menerjah jaring untuk mereka menang 4-3.-UTUSAN