Sze Fei-Izzudin kena kekal disiplin

Sze Fei-Izzudin kena kekal disiplin

SZE Fei-Izzuddin bergelar juara Terbuka China 2024 selepas berjaya menumpaskan pasangan tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu, kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain badminton yang bergerak secara profesional mampu meraih kejayaan di pentas antarabangsa sekiranya mereka mempunyai disiplin dan sokongan kuat.

Bekas pemain No.1 dunia, Roslin Hashim berkata, pemain yang memilih untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah keputusan peribadi ia bukan masalah besar.

Katanya, kejayaan pemain profesional juga membuktikan bahawa pemain masih boleh mencapai prestasi cemerlang walaupun tidak terikat dengan badan induk tersebut.

“Pada akhirnya, yang menentukan kejayaan seseorang pemain adalah kerja keras, disiplin, dan keinginan untuk terus berjuang dalam sukan badminton di pentas tertinggi.

“BAM boleh menyediakan platform, tetapi pemain perlu bijak menguruskan kerjaya mereka jika memilih untuk bergerak secara profesional,” kata Roslin kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan gandingan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, yang melakar sejarah menjuarai Terbuka China 2024, kelmarin.

Menurut Roslin, kejayaan tersebut adalah bukti bahawa pemain profesional mampu berjaya jika mereka mempunyai disiplin yang kuat dan sokongan yang kukuh.

“Sze Fei-Izzudin telah membuktikan sesuatu yang besar. Ia menunjukkan bahawa terdapat banyak jalan menuju kejayaan, sama ada dalam BAM atau di luar BAM.

“Yang penting ialah mereka tahu apa yang terbaik untuk diri mereka dan kekal fokus dalam mencapai matlamat,” tambah Roslin.

Dalam aksi final, kelmarin Sze Fei-Izzuddin berjaya menewaskan pasangan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 13-21,21-12, 21-17 sekali gus berjaya membawa pulang AS$148,000 (RM622,000).

Pencapaian itu juga menyaksikan Sze Fei-Izzuddin menamatkan kemarau 35 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka China selepas kali terakhir dilakukan gandingan adik beradik, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif pada edisi 1989.

Selepas menjuarai Terbuka Jepun pada 25 Ogos lalu, kejayaan kali ini pastinya lebih bermakna kepada pasangan negara itu kerana kali pertama mereka muncul juara kejohanan berstatus Super 1000.

Untuk rekod, Sze Fei-Izzuddin bergerak secara profesional sejak 1 September lalu selepas BAM melepaskan pasangan itu untuk bergerak secara profesional.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN