KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil yang biasanya riuh dengan sorakan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya kelihatan ‘sunyi’ malam ini.
Gerakan boikot yang dilancarkan penyokong bola sepak tempatan menjadi realiti apabila hanya 3,000 keping tiket dilaporkan terjual untuk aksi Malaysia menentang Filipina.
Tinjauan yang dilakukan setakat jam 8 malam tadi, persekitaran stadium agak lengang malah jumlah peniaga agak kurang berbanding kebiasaan ketika ada perlawanan membabitkan Harimau Malaya.
Paling menyedihkan, ada diantara penyokong yang ditemui mengakui kehadiran mereka ke stadium adalah disebabkan mendapat tiket percuma.
Dua penyokong wanita, Mas Amirah Mohamad Azhar, 25, dan Nurul Amira Abdullah, 27, yang ditemui mengakui agak terkejut dengan persekitaran stadium yang disifatkan sesuatu yang luar jangka.
“Boikot adalah isu luar padang jadi sebagai penyokong, kita kena profesional dan terus memberi sokongan kepada pemain. Tetapi saya terkejut kerana tidak ramai penyokong yang hadir untuk perlawanan malam ini.
“Walaupun tidak ramai seperti kebiasaan tetapi kami harapkan sokongan penyokong yang hadir dapat memberikan motivasi kepada pemain yang berjuang di atas padang. Mungkin juga suasana ini akan berbeza pada perlawanan akhir nanti,” kata Mas Amirah.
Nurul Amira berharap keputusannya hadir ke stadium akan berakhir dengan kegembiraan dan kemenangan akan berpihak kepada Harimau Malaya.
“Saya harapkan skuad negara dapat menang pada malam ini. Saya jangkakan kita akan menang 2-0 ke atas Filipina,” katanya.
Sebelum ini wujud gerakan yang diatur daripada Pemain Ke-12 untuk memboikot perlawanan Pestabola Merdeka.
Keadaan itu dikatakan berlaku disebabkan ‘Ekor Harimau Malaya’ terasa hati’ dengan industri bola sepak tempatan. – UTUSAN