KUANTAN: Fandi Ahmad mengakui rentak Sri Pahang tempang tanpa tiga tonggak utama yang tidak dapat beraksi ketika tewas 0-3 kepada Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, kelmarin.
Pengendali skuad Tok Gajah itu turut mengakui persembahan anak buahnya juga agak hambar tidak seperti perlawanan ketika mereka kenduri gol menewaskan PDRM FC 5-1 di gelanggang sendiri.
“Tanpa Alexson Cvetkovic, Syazwan Andik dan Stefeno Brundo, penguasaan Sri Pahang terutama di bahagian tengah dan pertahanan nampak terjejas sehingga memudahkan lawan menguasai perlawanan,” kata Fandi sejurus berakhir perlawanan.
Ketiga tiga pemain utama Sri Pahang itu terpaksa berehat panjang ekoran kecederaan sehingga Fandi terpaksa menggunakan khidmat pemain gantian yang kurang berpengalaman.
“Memang kami merasakan satu kehilangan besar tanpa mereka terutama Stefano yang banyak mengatur gerak dari tengah dan hari ini memang bukan hari kita” tambahnya.
Penjaga gol Sri Pahang, Mohamad Azfar Arif Mohd. Sukri gagal mengawal pintu golnya daripada dibolosi melalui dua jaringan Luciano Guaycochea dan satu dari Firdaus Sayadi untuk Perak FC mencatat tiga kemenangan berturut turut.
Fandi turut memuji ketangkasan penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli yang menafikan beberapa percubaan penyerang Sri Pahang terutamanya daripada Kpah Sherman dan Sergio Aguero.
Dalam pada itu, Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah juga memuji ketangkasan penjaga gol yang dipinjam dari skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
“Saya tidak dinafikan keupayaan Haziq bertindak cemerlang melakukan yang terbaik di hadapan pintu gol,” katanya.
Pengendali Perak FC itu turut berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan anak buahnya pada keseluruhan perlawanan sehingga berjaya meletakkan skuad seladang itu kini berada di tangga keempat liga.-UTUSAN