KUANTAN: Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad menyifatkan pasukannya menikmati malam serba menjadi ketika membedil PDRM FC 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, kelmarin.
Fandi nyata gembira dengan kemenangan besar itu selepas kali terakhir memperolehi tiga mata ketika menewaskan Kelantan Darul Naim KDN FC pada 11 mei lalu.
“Saya lihat Sri Pahang begitu menjadi malam ini (kelmarin) dengan kerjasama yang meyakinkan terutama berjaya menjaringkan lima gol selepas gagal melakukan penyudah”, katanya.
Menurut Fandi, anak buahnya berjaya bermain dengan baik ketika menentang skuad kendalian P. Maniam dengan kombinasi dan penyudah yang sangat meyakinkan hingga dapat menjaringkan banyak gol.
“Apa yang penting ialah keseluruhan pasukan iaitu pegawai, kejurulatihan dan pemain gembira kerana sudah lama Sri Pahang tidak mencatat kemenangan yang sudah pasti akan meningkatkan semangat semua pemain,” katanya.
Fandi berharap kemenangan itu juga akan membantu Sri Pahang meneruskan prestasi terbaik pada perlawanan akan datang.
Dalam perlawanan itu, Kpah Sherman dan Stefano Bruno masing-masing meledak dua gol untuk Sri Pahang manakala Manuel Hidalgo meledak satu gol dan gol saguhati PDRM terhasil menerusi Bruno Suzuki.
Sementara itu, Maniam tidak dapat menyembunyikan kekecewaan beliau dengan persembahan anak buahnya.
Bolos empat gol dalam masa 30 minit pada separuh masa pertama sukar diterima sehingga memaksa beliau membuat pertukaran penjaga gol.
“Saya harap mereka akan segera kembali bangkit dan melupakan kekalahan besar ini,” katanya.-UTUSAN