PETALING JAYA: Program pembangunan skuad hoki kebangsaan perlu dirombak semula bagi mengelak Malaysia ketandusan bakat baharu dalam sukan berkenaan pada masa akan datang.
Kebimbangan itu tercetus selepas Speedy Tigers beraksi hambar pada Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024 apabila dibelasah 8-1 oleh India selain dikejutkan pasukan ‘kerdil’ China 4-2.
Bekas pemain kebangsaan, Nor Saiful Zaini berkata, sistem sedia ada gagal melahirkan ‘bintang’ sensasi apabila bakat-bakat muda tidak menunjukkan kemajuan sejak Speedy Tigers tampil dengan wajah baharu pada Mac lalu.
“Sejak sekian lama kita bergantung kepada pemain veteran seperti Marhan Jalil, Fitri Saari dan Faizal Saari. Ianya memalukan kerana kita masih bergantung kepada mereka yang sudah mencecah usia 30 tahun ke atas.
“Kita tidak boleh bergantung kepada mereka (pemain veteran) lagi, melainkan sebagai pemimpin untuk pemain muda. Namun, pemain muda kini tidak mempunyai kemahiran asas pun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai barisan muda Speedy Tigers, Nor Saiful yang pernah beraksi di pentas Olimpik turut mengkritik kemahiran asas mereka yang disifatkan sangat lemah dari segi pengendalian bola, hantaran dan pertahanan.
“Jika kita tidak merombak semula sistem (pembangunan) itu sekarang, hoki Malaysia akan terus merudum. Tidak lama lagi, kita tidak dapat bersaing dengan pasukan ‘kerdil’ di Asia,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Nor Saiful kecewa dengan majoriti pemain sedia ada kerana mereka seolah-olah hanya melengkapkan kuota pasukan dan tidak seperti India yang mengembangkan bakat dan permainan mereka.
“Program pembangunan India jauh lebih ke hadapan berbanding kita. Pemain mereka lebih kuat dari segi fizikal dan mental. Mereka juga mempunyai skuad simpanan atau pelapis yang sama ‘level’ dengan pemain utama.
“Ini boleh dilihat apabila India sangat mudah menewaskan Malaysia tanpa menurunkan lima pemain utama mereka,” jelas Nor Saiful.
Kelmarin, impian untuk melihat Speedy Tigers untuk mara ke separuh akhir ACT 2024 lebur apabila sekadar seri 3-3 dengan Korea Selatan dan berada di tangga kelima daripada enam pasukan dalam liga sepusingan.-UTUSAN