Speedy Tigers akhiri kempen ACT 2024 di tempat tercorot

Speedy Tigers akhiri kempen ACT 2024 di tempat tercorot

PASUKAN hoki kebangsaan tewas kepada Jepun menerusi penentuan penalti shoot-out 2-4 selepas terikat 4-4 pada Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, China, hari ini. - IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan menamatkan saingan Trofi Juara-juara Asia 2024 di tempat terakhir selepas tewas kepada Jepun menerusi penalti shoot-out, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Kem Latihan Moqi, Hulunbuir, China itu, Speedy Tigers terikat 4-4 kepada Jepun sebelum permainan diheret ke penalti shoot-out.

Pasukan Jepun membuka jaringan seawal minit ketiga permainan menerusi jaringan gol padang Kazumasa Matsumoto sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyamakan kedudukan dua minit seterusnya.

Penyerang sensasi negara, Faizal Saari meletakkan Speedy Tigers di depan selepas menjaringkan gol padang pada minit ke-21.

Selang tiga minit kemudian, Yuki Chiba menyamakan kedudukan sekali gus Malaysia diikat Jepun 2-2 pada separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan, anak-anak buah Sarjit Singh mengubah percaturan dengan permainan lebih agresif apabila Faizal sekali lagi menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-32.

Jepun yang mempamerkan semangat juang yang tinggi, tidak henti menyamakan kedudukan apabila Kazumasa sekali lagi menjaringkan gol buat pasukannya pada minit ke-37.

Fitri Saari yang dibawa masuk pada babak kedua, berhasil meledak gol yang cantik pada minit ke-47 untuk meletak Malaysia 4-3.

Jaringan minit-minit akhir Seren Tanaka memaksa Speedy Tigers diheret ke penentuan penalti shoot-out.

Malaysia kemudian terpaksa menelan kekecewaan apabila tewas 2-4 kepada Jepun menerusi penentuan terbabit.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat tercorot daripada enam pasukan yang bersaing pada ACT 2024.

Untuk rekod, ACT edisi lalu menyaksikan Malaysia terlepas peluang bergelar juara selepas tumpas kepada India 3-2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN