LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot mendedahkan analisis untuk mencari titik kelemahan Manchester United membuahkan hasil ketika mereka membenam The Red Devils 3-0 pada Ahad lalu.
Dalam perlawanan itu, kesilapan barisan tengah tuan rumah yang dilakukan oleh Casemiro dan Kobbie Mainoo menghukum skuad kendalian Erik Ten Hag di laman sendiri di Old Trafford.
Bagaimanapun, ketika kesilapan individu menjadi punca ketiga-tiga gol jaringan Liverpool, percaturan Slot menentang anak buah Ten Hag adalah faktor utama pertahanan tuan rumah berjaya dirobek pelawat.
Bekas bos Feyenoord itu menjelaskan apa yang dia dan barisan kejurulatihannya lakukan adalah mengenalpasti titik kelemahan United sebelum perlawanan tumpuan itu berlangsung.
“Musim lalu, mereka mengawal pemain lawan di barisan tengah, dan mengasak menggunakan nombor tujuh dan 11 (pemain sayap). Jadi dengan penyerang, dan salah seorang pemain sayap menyertai serangan.
“Musim ini, mereka lebih kerap menyerang dengan nombor 9 dan 10, jadi lebih kepada formasi 4-4-2.
“Itu perbezaannya. Pada pendapat saya, mereka terpaksa bekerja lebih keras jika menggunakan formasi itu, jadi mereka berlari lebih banyak. Itu apa yang saya lihat daripada perlawanan pertama.
“Mereka juga mungkin gunakan taktikal sama pada musim lalu, saya tidak begitu ingat, tetapi pertahanan mereka berada terlalu tinggi, dan Casemiro berada di antaranya.
“Jadi jika anda mendapat bola dan mengekalkan (Luis) Diaz serta (Mohamed) Salah di atas, anda akan sentiasa berada dalam situasi satu lawan satu.
“Kemudian anda memerlukan pemain tengah yang pantas, dan kami mempunyai tiga pemain yang sentiasa berlari, jika mereka tiba untuk perebutan bola, mereka cukup agresif untuk memenanginya.
“Saya rasa itu salah satu sebab utama kami mampu menang hari ini,” kata Slot.
Slot bagaimanapun menjelaskan, meletakkan pemain sayap jauh ke atas cukup berisiko jika mereka lambat kembali ke bawah dan bertahan, tetapi mereka berjaya melakukannya. – AGENSI