Skuad ragbi 7s negara capai sasaran

Skuad ragbi 7s negara capai sasaran

AKSI pemain ragbi negara cuba merampas bola daripada pasukan Jepun ketika kedua-dua pasukan itu bertemu di peringkat Kumpulan B Ragbi 7s Asia Siri 2 di Hangzhou, China semalam. Ihsan Kesatuan Ragbi Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad ragbi lelaki 7 sebelah (7s) Malaysia berjaya mencapai sasaran untuk menduduki tempat kelima dalam kejohanan Ragbi 7s Asia Siri 2 di Hangzhou, China yang berakhir, semalam.

Kapten skuad ragbi 7s negara, Anwarul Hafiz Ahmad mengakui berpuas hati dengan pencapaian yang dilakarnya bersama rakan sepasukan apabila menepati sasaran yang ditetapkan.

“Alhamdulillah syukur untuk dua perkara. Pertamanya kami berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh jurulatih (Nik Safuan Ismade Nik Man) untuk menamatkan saingan di tempat kelima dan kedua tiada kecederaan serius yang berlaku kepada pemain.

“Saya berasa bangga dengan pemain yang memberi 100 peratus dan mencapai sasaran yang diberikan,” katanya.

Skuad ragbi negara menewaskan Singapura 14-10 dalam aksi separuh akhir plate sebelum menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 17-12 dalam final untuk mengakhiri saingan di tempat kelima daripada lapan pasukan.

Kemenangan itu menjadi aksi balas dendam terbaik Malaysia yang sebelum itu tewas 7-22 kepada UAE di peringkat kumpulan.

Terdahulu, skuad kendalian Nik Safuan tewas dalam dua aksi Kumpulan B kepada Jepun (40-12) dan China (35-0).

Sementara itu, bagi saingan wanita menyaksikan skuad negara menundukkan UAE 24-17 untuk menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada lapan pasukan apabila sebelum itu mereka tewas 5-12 kepada Singapura dalam separuh akhir plate.

Skuad ragbi wanita mencatat satu kemenangan di peringkat Kumpulan D apabila menewaskan UAE 17-5 sebelum tewas dua perlawanan kepada Hong Kong (29-5) dan Jepun (60-0).

“Bagi saya sebagai satu pasukan kami telah memberikan terbaik sehingga ke akhir cuma mungkin rezeki pada kali ini tidak menyebelahi kami untuk mencapai yang lebih baik,” kata kapten ragbi 7s wanita negara, Rozliana Ridwan.

Selepas ini, skuad ragbi 7s lelaki dan wanita negara akan beraksi di Ragbi 7s Asia Siri 3 iaitu kejohanan terakhir di Thailand pada 9 dan 10 November ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN