MANCHESTER: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui anak-anak buahnya melepaskan peluang keemasan untuk mengutip tiga mata penuh ke atas pencabar utama, Manchester City.
Bagaimanapun, Arteta mengakui beraksi dengan 10 pemain meletakkan pasukannya dalam situasi hampir mustahil untuk menang apabila terpaksa berpuas hati seri 2-2 dengan City.
Arsenal yang menamatkan saingan liga di tempat kedua di belakang City pada dua musim lalu hampir meraih kemenangan psikologi lebih awal dalam perlumbaan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sehingga John Stones menyamakan kedudukan pada minit ke-98.
“Kami telah diletakkan dalam konteks permainan yang membuatkan ia hampir mustahil selama 56 minit. Kami bermula dengan sukar. Kami sukar untuk mengawal beberapa Kawasan kerana kemampuan kami tidak mencukupi.
“Saya sangat bangga dengan mereka. Anda tidak boleh berada dalam situasi yang lebih sukar dan cara kami mengendalikan situasi ini adalah luar biasa,” kata Arteta.
Ketika ditanya sama ada Arsenal mampu mencipta kemenangan sekiranya Leandro Trossard tidak mengutip kad merah, Arteta mengakui dia sendiri tidak dapat mengesahkannya.
“Saya tiada petunjuk. Kami akan cuba, sudah tentu. Selepas mencuba di babak kedua. Apa yang saya boleh katakan 99 daripada 100 kali anda menentang pasukan dengan 10 pemain, anda kalah,” katanya.
Trossard diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua gara-gara menyepak bola ke tempat lain selepas melakukan kekasaran pada masa tambahan babak pertama bagaimanapun Arteta enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Saya memilih untuk tidak memberi komen. Saya sudah mempunyai masalah besar dan cuba menyelesaikannya. Sudah jelas dan tiada keperluan untuk mengulas lanjut mengenainya,” katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan Arsenal berada di tangga keempat ketinggalan dua mata di belakang City di puncak liga yang telah mengumpul 13 mata. – AGENSI