MADRID: Bintang Brazil, Rodrygo kecewa selepas namanya tidak tersenarai untuk 30 calon terakhir anugerah Ballon d’Or.
Pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan 17 gol dan membantu sembilan lagi gol dalam 51 penampilan untuk Real Madrid musim lalu.
Begitupun, rakan sepasukannya di Madrid, Vinicius Jr, Jude Bellingham, Dani Carvajal, Federico Valverde, Antonio Rudiger, serta Toni Kroos, berjaya memasuki senarai berkenaan.
Kylian Mbappe yang tiba di Madrid dari Paris St Germain (PSG) ketika jendela perpindahan lalu turut tersenarai.
“Saya kecewa, saya rasa saya berhak dicalonkan (30 terakhir). Saya bukan mahu memperkecilkan pemain yang ada dalam senarai itu, saya juga merasakan mereka berhak.
“Tetapi saya fikir saya mempunyai tempat dalam kelompok 30. Ia mengejutkan tetapi tidak ada apa yang boleh saya katakan kerana bukan saya yang menentukannya,” kata Rodrygo.
Sementara itu, pemenang anugerah berkenaan akan diumumkan dalam majlis di Paris pada 29 Oktober nanti.-AGENSI