BAKU: Pelumba Mclaren, Oscar Piastri menganggap kejayaan bergelar juara di Grand Prix (GP) Formula 1, Azerbaijan semalam sebagai kemenangan terbaik dalam kariernya.
Kemenangan itu juga menyaksikan Piastri berjaya meletakkan Mclaren sebagai pendahulu kejuaraan biarpun mendapat tentangan sengit pemandu Ferrari, Charles Leclerc.
Piastri memintas Leclerc yang berada di petak utama ketika pusingan ke-20 dan pelumba berusia 23 tahun itu mempertahankan kedudukannya sehingga tamat perlumbaan.
Insiden kemalangan membabitkan Carlos Sainz dan Sergio Perez dari Red Bull pada pusingan kedua terakhir memastikan kemenangannya dengan Kereta Keselamatan Maya (VSC).
“Saya fikir itu mungkin kemenangan yang terbaik dalam karier saya. Cuba untuk menyerap tekanan itu untuk sekian lama dalam perlumbaan sangat sukar.
“Itu mungkin perlumbaan petang yang paling tertekan dalam hidup saya,” kata Piastri.
Kemenangan pelumba Australia itu hadir selepas bos Mclaren, Andrea Stella mahu Piastri membantu rakannya, Lando Norris dalam perebutan gelarannya dengan juara dunia tiga kali, Max Verstappen.
Sementara itu, Norris yang menamatkan saingan di carta keempat juga berjaya mengurangkan jurang mata dengan Verstappen kepada 59 mata.
“Saya melakukan bahagian yang kecil untuk pasukan dan sangat gembira kerana ianya membawa kami ke tempat pertama dalam kejuaraan jentera,” kata Norris. – AGENSI